13 May 2011

PERATURAN TETAP UNTUK STAF

PERATURAN TETAP UNTUK STAF


Kehadiran Bertugas:

1. Berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/81 yang bertarikh 12 September 1981 menyebut bahawa semua kakitangan sekolah dikehendaki berada di sekolah sekurang-kurangnya lima minit sebelum waktu pejabat bermula. Oleh itu sesiapa yang hadir selepas pukul 7.55 pada sesi pagi atau 1.55 pada sesi petang dianggap telah melanggar peraturan tetap ini.
2.Adalah menjadi tanggungjawab semua warga sekolah untuk mengamalkan ketepatan masa itu sepanjang waktu bertugas di sekolah, semasa datang dan balik dari sekolah, ketika memasuki pejabat dan masa menjalankan sesuatu tugas di luar pejabat.
3. Ketepatan masa juga bermakna seseorang kakitangan pejabat hendaklah mengikut jadual tugas dan tidak dibenarkan meninggalkan pejabat atau pun kawasan sekolah pada waktu bertugas.
4. Peraturan ketepatan masa dikenakan kepada semua kakitangan sekolah.


Kepatuhan Tugas:

1. Semua kakitangan hendaklah menandatangani buku kedatangan sebaik sahaja tiba di sekolah dengan mencatatkan nama, masa sampai pagi dan petang yang tepat dan menurunkan tanda tangan.
2. Semua kakitangan tidak dibenar meninggalkan kawasan sekolah dengan tidak mendapat keizinan Guru Besar terlebih dahulu.
3. Mereka yang datang lewat hendaklah berjumpa dengan Guru Besar atau Penolong Kanan Pentadbiran dengan memberi sebab musabab kelewatan itu secara bertulis. Sekiranya hal ini berlaku dengan kerapkali atas alasan yang tidak wajar atau bersifat tidak bertanggungjawab, maka tindakan tatatertib akan diambil.
4. Sekiranya tidak dapat menghadirkan diri di sekolah kerana kecemasan atau jatuh sakit, mereka perlu menghubungi pihak sekolah secepat mungkin. Sekiranya sakit mereka juga dikehendaki mengemukakan sijil sakit kepada Guru Besar apabila kembali bertugas semula. Perlu diingat di sini bahawa sijil sakit bukanlah 'sijil cuti'. Kebenaran untuk bercuti hanya boleh diberi oleh Guru Besar sebagai ketua jabatan berdasarkan bukti sijil sakit yang dikemukakan. Cuti Rehat hendak dipohon dan mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada guru besar.(Prosedur : Maklum secara lisan, Isi borang permohonan cuti rehat, Tandatangan, Isi Kad Cuti dan tandatangan, minta PK tandatangan, jumpa GB untuk tandatangan kelulusan)
5. Kakitangan sekolah tidak dibenarkan meninggalkan pejabat/kawasan sekolah semasa bertugas kecuali dengan mendapat kebenaran daripada Guru Besar terlebih dahulu.
6. Kehadiran semua kakitangan adalah wajib semasa semua kegiatan dan upacara rasmi sekolah seperti semasa Perhimpunan Khas Sekolah, Mesyuarat staf dsbnya untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan di samping memberi sumbangan bakti dan bantuan yang diperlukan bagi menjayakan upacara tersebut.
7. Semua kakitangan sekolah hendaklah menandatangani semula buku kedatangan sewaktu balik dari sekolah dengan mencatatkan masa pulang dengan tepat dan menurunkan tanda tangan semula sebelum meninggalkan kawasan sekolah.


Waktu Pejabat/ Waktu Bertugas

Isnin hingga Khamis : 8.00 pagi – 1.00petang 2.00 petang – 5.00 petang.
Jumaat : 8.00 pagi – 12.15 tgh. 2.45 petang – 5.00 petang


Tugas Kakitangan Sekolah:


1. Kakitangan sekolah hendaklah menunjukkan sikap profesional dan budaya kerja yang bermutu tinggi.
2. Kerja hendaklah disemak dengan teliti. dan disiapkan sebelum tarikh tarikh tutup atau masa yang sewajarnya.
3. Guru Besar, Penolong-Penolong Kanan, atau Guru Ketua Panitia mata pelajaran diberi kuasa untuk menyemak dan menentukan bahawa sesuatu tugas dilaksanakan oleh Kakitangan Sekolah dari masa ke semasa.
4. Kakitangan sekolah yang ditugaskan hendaklah mengisi waktu bertugas itu dengan bermakna perlu dan ini juga merupakan tugas rasmi kakitangan itu. Ia itu mesti diisikan dengan kerja-kerja yang memberi faedah kepada pengurusan sekolah. Jangan sekali-kali biarkan masa itu tidak membuat sebarang kerja langsung atau sembang panjang sesama kakitangan sekolah.



Perhubungan antara staf
1. Kakitangan sekolah perlu mempunyai hubungan mesra dengan semua warga sekolah sentiasa bermuka manis. Mereka perlu perihatin dan memahami tanggungjawab masing-masing.
2. Disiplin diri adalah penting dan tonggak 12 menjadi panduan dalam urusan rasmi.
3. Perkara-perkara tatatertib yang dianggap berat adalah seperti ponteng tugas, ponteng kerja, mengancam keselamatan orang lain, cuti tanpa kelulusan, menghasut, berhutang berat, tidak melaporkan harta, mengambil dadah, bersifat bongkak, menghina rakan-rakan dsb.
4. Para kakitangan sekolah hendaklah menjaga imej kakitangan kerajaan , bersikap dan mempunyai perwatakan yang sesuai untuk dihormati dan dipandang tinggi oleh orang ramai.

Pakaian:

1. Kakitangan sekolah hendaklah kelihatan kemas dengan memakai
pakaian yang sesuai semasa bertugas di sekolah atau menjalankan tugas rasmi.
2. Mereka tidak dibenarkan memakai selipar dan baju T walaupun pada waktu petang semasa berada di kawasan sekolah.
3. Pakaian formal mesti dipakai semasa upacara rasmi sekolah.

Potongan Rambut:
Potongan rambut tidak boleh melebihi kolar baju bagi staf lelaki. Rambut perlu diurus dan kelihatan kemas.

Pelawat:
1. Jangan benarkan pelawat termasuk jurujual berjumpa dengan sesiapa di kawasan sekolah.
2. Pelawat atau jurujual hanya boleh berjumpa dengan warga sekolah sekiranya mereka mendapat kebenaran daripada
Guru Besar terlebih dulu.
3. Perbincangan antara warga pendidikan dengan pelawat atau jurujual hanya boleh dibuat di dalam bilik guru sahaja.

Kenyataan Akhbar:
1. Kakitangan sekolah adalah dilarang sama sekali daripada membuat sebarang kenyataan akhbar walaupun bertindak atas nama Guru Besar atau pihak sekolah.

Surat Rasmi:

1. Semua surat rasmi yang hendak dihantar keluar dari sekolah sama ada dari guru atau dari persatuan dan kelas hendaklah dikirim melalui Guru Besar.

Lawatan:
1. Sebarang lawatan yang dilakukan hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Guru Besar dan Jabatan Pelajaran Negeri.

2. Untuk lawatan ke luar negeri, borang permohonan hendaklah dikirim ke Jabatan Pelajaran Negeri melalui Guru Besar. Surat itu mesti dikirim sekurang-kurangnya lima minggu sebelum lawatan dilakukan.

Kutipan Wang:
1. Kakitangan sekolah adalah dilarang mengutip/menerima sebarang wang daripada sesiapa kecuali diturunkan kuasa oleh guru besar.